Wednesday, May 26, 2010

DARI MEJA PIBG - 1/2010

Assalamualaikum w.b.t

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dimuliakan sekelian.

Pertamanya marilah kita panjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNYA kita masih lagi mampu menghirup udara Allah pada hari ini. Marilah sama-sama kita memanjatkan doa semoga dikurniakan tubuh badan yang sihat dan rezeki yang halal dan baik agar kita mampu meneruskan kehidupan dengan tenang dan dapat menghulurkan sumbangan sebagai amal ibadah kita di akhirat nanti.

Tuan Puan yang dihormati.

Rasulullah telah bersabda yang bermaksud “apabila mati seorang anak Adam maka terputus segala amalan KECUALI 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak-anak yang soleh yang mendoakan mereka”.

Tuan Puan yang dikasihi.

Mesyuarat AJK PIBG telah diadakan baru-baru ini telah bersepakat untuk bersama-sama membantu meningkatkan pembelajaran anak-anak kita. Kami ingin mengambil inisiatif untuk menyediakan prasarana terbaik di sekolah kita agar mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik, syakhsiah, nilai moral dan ketinggian iman.

Sudah tentu ia tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya jika hanya dilakukan oleh 14 orang AJK PIBG sahaja. Tetapi jika gandingan lebih 400 keluarga dapat digembeleng pasti kita dapat melihat sesuatu hasil untuk anak-anak kita.

Mesyuarat telah bercadang untuk mengumpul sebanyak mungkin dana dengan cara:

1. Mengutip derma dari individu dan pihak yang prihatin
2. Mengadakan majlis makan malam
3. Derma RM1 1Bulan 1keluarga (sukarela sahaja)
4. Hari kantin
5. Memohon sumbangan badan korporat

Antara matlamat AJK PIBG ialah:

1. Menggantikan penggunaan papan hitam kepada papan putih
2. Menurap kawasan perhimpunan agar pelajar dapat bersenam dengan lebih selamat
3. Menyediakan buku-buku tambahan dan pemasangan penghawa dingin di pusat sumber
4. Memberi bantuan kepada pelajar miskin
5. Menyediakan tempat makan pelajar yang lebih selesa
6. Mengadakan program keibubapaan
7. Memberi hadiah kepada pelajar cemerlang
8. Mengadakan sesi motivasi dan teknik belajar
9. Dan lain-lain sumbangan untuk pembangunan pelajar anak-anak kita


Tuan Puan yang di hormati.

Kami yakin dan percaya bahawa kami bukan yang terbaik malah tuan puan lebih berkelayakan dari kami semua. Cuma mungkin tuan puan tidak dapat hadir pada hari mesyuarat tempohari atas kekangan tertentu. Jadi kami dengan rendah diri memohon bantuan dan sokongan tuan puan demi pembangunan anak-anak kita yang mengharap yang terbaik dari kita.

Sepertimana kita yakin bahawa balasan Allah untuk Solat kita adalah diakhirat nanti. Walaupun kita tidak pernah mendapat apa-apa pulangan apabila selesai Solat, tetapi kita tetap meneruskan Solat kita itu kerana yakinnya kita pada pembalasan Allah di akhirat nanti. Maka begitulah juga hendaknya kita terus memberikan sumbangan dengan penuh yakin bahawa ia dicatat oleh Malaikat sebagai amalan baik kita sebagai bekalan di akhirat nanti.

Apa yang cuba kita lakukan ini pula tidak lain adalah demi anak-anak kita semua. Matlamat kita semua agar anak-anak kita ini akan menjadi manusia yang berguna untuk diri mereka sendiri dan mampu menyumbang kepada pembangunan umat Islam yang hebat satu hari nanti.

Jutaan terima kasih dan sanjungan kami kepada semua ibubapa yang sudi memberikan sumbangan samada berupa pandangan, cadangan, kritikan, tenaga, wang ringgit dan apa sahaja yang termampu. Semoga Allah memberikan balasan yang terbaik untuk kita dan anak-anak kita samada di dunia dan di akhirat.

Salam dari kami

AJK PIBG sesi 2010-2011

PENASIHAT: Pn. Samilah bt Jusoh
YDP: Dr. Zainulasri b Mahat
NYDP: Engku Mohd Azri b Engku Haji Abdul Rahman
SETIAUSAHA: Syed Kamal Azira b Syed Mohamed Zain
BENDAHARI: Mohd Fadli b Idris
AJK:
Siti Saleha bt Samsuri
Zulkhairi Amar b Mohamed
Zakaria b Ahmad
Shahrizal b Jasit
Rosmaziah bt Kamarudin
Kartina bt Ibrahim
Roslan b Ariffin
Muzzan
Khadijah Abdul Rashid
Clara Mallika a/p P.D.R Rajoo

*Sehingga kini pihak PIBG telah memasang 16 whiteboard dan membekalkan maker pen untuk kegunaan guru-guru. Manakala 8 lagi whiteboard akan dipasang pada minggu berikutnya.

wassalam

No comments:

Post a Comment

Thank you for comments