Wednesday, June 10, 2009

10 Subjek SPM Dah Cukup

Salam sejahtera.

Pagi ini saya menonton buletin pagi di TV 3. Stu berita yang amat menarik untuk saya berkongsi di sini ialah berkaitan dengan cadangan KPM untuk menghadkan jumlah bilangan mata pelajaran untuk peperiksaan SPM sebanyak 10 sahaja. Alasan yang diberikan ialah supaya para pelajar dapat memberi fokus kepada subjek teras dan bagi memudahkan pemilihan pelajar untuk penganugerahan biasiswa. Selain itu KPM juga meminta NGO-NGO ataupun pertubuhan-pertubuhan masyarakat nmemberi maklum balas tentang cadangan ini dan jika tidak bersetuju berikan alasan-alasan untuk itu.

Saya terpanggil untuk berkongsi pendapat walaupun saya hanya sebagai Pengerusi PIBG sekolah rendah yang tidak berkaitan dengan peperiksaan SPM. Saya lebih senang untuk tidak bersetuju dengan cadangan KPM dan inilah alasan-alasan saya. Pertama sekali berkaitan dengan sejarah peperiksaan SPM itu sendiri yang tidak pernah menghalang pelajar-pelajar untuk mengambil berapa banyak subjek yang mereka mahu. Daripada sini saban tahun kita sentiasa melihat pelajar-pelajar berlumba-lumba untuk mencipta sejarah mendapat bilangan A yang tinggi dan sejarah yang dicipta ini amat baik dan memang digalakkan. Dua tiga tahun kebelakang ini nampaknya pelajar-pelajar sekolah agama rakyat mendominasi sejarah pelajar terbaik dan sebagai orang Islam saya amat bangga sekali kerana yang mencipta sejarah tersebut merupakan pelajar Islam yang bersekolah di sekolah agama rakyat yang serba kekurangan. Jika cadangan KPM dilaksanakan, saya pasti tiada sejarah akan tercipta lagi selepas ini kerana rekod sedia ada pasti tidak akan terpecah.

Alasan KPM agar pelajar boleh memberi fokus untuk subjek teras boleh diterima. Walau bagaimanapun jika ada pelajar-pelajar yang boleh memberi fokus lebih daripada 10 subjek tetapi kreativiti mereka terhalang kerana dasar kerajaan bukankah itu sesuatu yang merugikan. Pelajar yang bijak adalah pelajar yang tahu potensi diri sendiri. Oleh itu tidak perlulah kita pengap potensi diri pelajar tersebut atas alasan untuk fokus kepada subjek teras. Bilangan orang yang kenal potensi diri sendiri bukannya ramai dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencungkil potensi ini, bukan melenyapkannya kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang daripada aspek rohani, jasmani, intelek dan emosi serta mencungkil segala potensi yang ada di dalam diri pelajar-pelajar.

Mengambil bilangan subjek yang banyak tidak menjejaskan proses pemberian biasiswa mahupun penempatan ke IPTA. Ini kerana kita telah sedia maklum bahawa kriteria pemilihan bukan semata-mata kepada bilangan A subjek tetapi ia juga merangkumi aspek kokurikulum pelajar selain keutamaan kepada subjek teras sebagai asas pemilihan. Perkara ini telah diamalkan sejak lama dahulu dan ia tidak pernah berbangkit sebelum ini dan masyarakat menerimanya. Untuk makluman, pelajar-pelajar yang mencipta rekod SPM bukan sahaja terbaik di bidang akademik malahan mereka juga merupakan pelajar-pelajar yang aktif di bidang kokurikulum.

Saya lebih melihat kepada perspektif setiap orang berhak untuk diberi ruang bagi membuktikan potensi diri. Janganlah dasar kita menyebabkan kita menjadi mundur selangkah. Apa yang boleh KPM lakukan ialah dengan melakukan perubahan secara berhemah dahulu seperti yang kita sedia maklum bahawa peperiksaan awam sekarang adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan. Oleh itu bagi mengelakkan pelajar-pelajar mengambil bilangan subjek yang banyak atas alasan ia percuma, maka perkara pertama yang KPM boleh lakukan ialah menghadkan bilangan subjek yang percuma kepada sepuluh sahaja. Jika pelajar ingin mengambil lebih daripada itu, mereka perlu membayar yang selebihnya. Ini boleh mengekang pelajar daripada membuat keputusan yang silap kerana kesilapan ada harganya selain mengelakkan pelajar bersikap sekadar untuk mencuba sedangkan mereka tahu kemampuan mereka.

Alternatif lain yang boleh KPM lakukan ialah menjadikan merit untuk subjek teras yang terkandung dalam sepuluh subjek ini lebih tinggi nilainya berbanding dengan subjek-subjek lain. Pastikan nilainya lebih tinggi dan mungkin boleh diletakkan dalam gandaan dua berbanding subjek lain. Jika ini dilaksanakan saya yakin pelajar akan memberi fokus yang lebih kepada subjek teras berbanding subjek bukan teras seterusnya mengelakkan mereka daripada mengambil banyak subjek yang saya kira akan merosakkan peluang mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam subjek teras. KPM juga perlu mengumumkan nilai subjek teras ini supaya para pelajar tahu apa yang mereka perlu buat.

Sebelum saya menoktahkan tulisan ini, sekali lagi saya tegaskan bahawa tugas kita adalah mencungkilkan bakat dan potensi pelajar-pelajar. Dasar yang dicadangkan ini akan menjadikan kita sebagai virus yang merosakkan potensi pelajar. Sudah tentu ini tidak adil kepada mereka kerana ia hanya akan menjadikan kita seolah-olah takut rakyat kita jadi pandai dan agak malang sekali kerana cadangan ini jika dilaksanakan akan menajdikan kita 10 langkah kebelakang. Fikir-fikirkanlah supaya isu seperti ini tidak akan meletup seperti mana isu PPSMI.

Wassalam.

Pengerusi
PIBG Semerbak
10 Jun 2009/11am.

Monday, June 1, 2009

Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul

Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole. Pada ketika ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah pun berada di Kota Istanbul untuk menghadiri sambutan ulangtahun upacara yang amat bersejarah ini.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta


Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa


Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.

Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.

Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

Oleh:
Husam Musa

Komen Pembaca 23 Mei 2009

Salam dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah saya telah menerima satu komen daripada pembaca yang saya yakin ia datangnya daripada kalangan warga pendidik sekolah ini. Terima kasih atas komen tuan walaupun ia agak beremosi sedikit.

Apa yang telah ditimbulkan oleh anonymous saya terima dengan berlapang dada walupun saya tercari-cari dimanakah penulisan saya yang keluar dilaman blog ini atau kata-kata saya sepanjang menjawat jawatan Pengerusi PIBG meletakkan kesalahan kepada guru di atas kegagalan pelajar-pelajar SKSML. Mungkin hasil pertemuan dengan ketua panitia matape lajaran dan komen saya terhadap sikap skeptikal guru yang meletakkan kegagalan setiap perancangan mereka akibat daripada sikap murid itu sendiri sebagai punca kepada lahirnya emosi tersebut.

Untuk makluman anonymous, itu bukan apa yang saya maksudkan. Apa yang saya maksudkan ialah ibu bapa tidak akan menerima alasan ini walaupun ia benar. Memang kebenaran itu adalah amat pahit untuk ditelan. Saya sebagai Pengerusi PIBG dan juga pernah bertugas sebagai guru amat faham masalah guru-guru yang kadang-kadang terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membiayai aktiviti murid selain terpaksa mengorbankan masa luar waktu pejabat untuk kesenangan pelajar-pelajar. TETAPI, adakah ibu bapa akan mengambilkira semua perkara ini? Jawapan saya mungkin YA mungkin TIDAK. Untuk makluman, sikap mencari kambing hitam begitu membarah di kalangan masyarakat kita terutama di kalangan masyarakat kita. Walau seribu satu alasan kita berikan, seseorang tetap perlu dipersalahkan. Ini realitinya. Begitu juga hal di sekolah, bila ramai murid-murid berjaya, ibu bapa hanya tersenyum dan mengatakan bahawa anak mereka memang pandai. Bila senario sebaliknya berlaku, terus menuding kepada guru dan sekolah sebagai tempat untuk melepaskan kemarahan. Adilkah ini untuk guru-guru? Sudah tentulah tidak. Isunya di sini ialah adakah masyarakat peduli bila kita bercakap tentang keadilan? Anonymous boleh dapat jawapannya sendiri.

Oleh itu, saya sabagai Pengerusi PIBG mungkin memberi komen yang saya kira agak menyinggung perasaan beliau ataupun mungkin beliau melihat persepektif bahawa saya juga sebahagian daripada masyarakat yang bersikap skeptikal terhadap guru. Tidak sama sekali. Saya tidak akan menyalahkan guru-guru walau apapun yang terjadi di sekolah kerana saya faham bahawa tiada guru yang mahukan anak muridnya gagal di dalam pelajaran. Apa yang saya sentuh dalam penulisan saya ataupun di dalam mesyuarat AJK ialah jika ibu bapa bersikap skeptikal iaitu tetap menuding jari jika anak mereka gagal, guru pula yang dianugerahkan kesabaran yang begitu tinggi dan mulia sikapnya janganlah pula bersikap skeptikal dengan meletakkan kegagalan tersebut kepada murid-murid. Jika ini berlaku maka kita akan jadi seperti lagu "Bangau Oh Bangau".

Apa yang perlu di sini ialah warga guru perlu lebih bijak untuk mencari alasan jika skrip seperti ini berulang. Saya kira majoriti ibu bapa pun faham bahawa anak mereka sendiri adalah penyumbang terbesar atas kegagalannya. Cuma ada beberapa kerat sahaja yang saya kira mungkin tidak akan menerima realiti tentang kegagalan anak mereka berpunca daripada sikap anak mereka sendiri sebaliknya tetap mahu mecari kambing hitam untuk dipersalahkan. Inilah sebenarnya yang kita perlu elakkan. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut dapat ditarik tetapi tepung tidak berserakkan. Oleh itu saya menyarankan agar setiap alasan yang dikemukakan nanti jika skrip ini berulang ialah berilah alasan yang lebih bersifat ilmiah supaya alasan tersebut tidak boleh dijadikan senjata oleh golongan seperti ini untuk menembak guru semula.

Satu perkara yang saya agak terkilan atas komen anonymous, bila ia menyatakan bahawa jangan jadikan guru sebagai musuh PIBG. Nauzubillah Hi Min Zalik, minta dijauhkan oleh Allah perkara seperti ini. Ini merupakan satu tuduhan yang berat apatah lagi ia mungkin sebagai satu ancaman. Jika sampai ke tahap inilah pemikiran anonymous, maka saya berasa sungguh sedih sekali kerana objektif penubuhan PIBG bukan untuk bermusuh dengan warga pendidik sebaliknya merapatkan hubungan warga pendidik dengan ibu bapa. Tidak terlintas pula di hati saya bahawa komen saya akan menjadikan PIBG musuh guru. Jika inilah yang difahami oleh beliau, saya cuma dapat berdoa agar beliau tidak berniat seperti seperti apa yang dituliskan kerana ini akan menjadikan PIBG sebagai satu medan pertempuran peribad. Selain itu adakah apa yang ditulis itu mewakili seluruh warga pendidk Semerbak ataupun beliau hanya beranggapan bahawa semua warga Semerbak bersetuju dengan apa yang dilontarkan oleh beliau. Seperkara lagi bila anonymous mengatakan murid-murid Sungai Merab tidak boleh diusik, saya percaya itu adalah satu generalisasi yang keterlaluan dan membuat persepsi yang salah ke atas warga Sungai Merab. Saya yakin hanya beberapa kerat sahaja yang marah bila anak mereka dijentik. Mungkin ada beberapa kes yang melibatkan guru dengan anak dan ibu bapa berlaku di Semerbak tetapi ia tidak boleh dijadikan persepsi bahawa semua warga Sungai Merab begitu. Saya yakin apa yang telah berlaku merupakan kes terpencil sahaja dan tidak menggambarkan pemikiran masyarakat Sungai Merab. Saya sendiri sebagai bapa berlapang dada jika anak saya dihukum atas kesalahan yang beliau lakukan dan mungkin ibu bapa yang lain juga seperti saya. Selagi hukuman itu dijatuhkan atas ruang lingkup yang dibenarkan oleh peraturan sekolah, nah! cikgu jangan khuatir, laksanakan kerana hukuman juga merupakan satu bentuk pendidikan. Sultan Muhammad Al Fatih yang berjaya merobohkan kota Konstantinople bukan sahaja dibentuk dengan ilmu malah baginda juga dirotan agar menjadi seorang pemimpin ummah yang adil dan berjaya. Saya kira jika kita tidak menghukum akan menjadi lebih mudarat berbanding menghukum, jadi, pastikan hukuman dilaksanakan. Jangan takut dengan kebenaran.

Kritikan untuk membina bukan untuk membunuh. Saya seronok bila tulisan saya dikritik kerana itu membuktikan apa yang saya tulis dibaca oleh orang lain. Cuma saya berharap anonymous tidaklah begitu beremosi kerana peluang untuk beriteraksi seperti ini kita jadikan medan untuk saling baik memperbaiki dan lengkap melengkapi. Bukan ancaman dan tudingan jari sepatutnya diberikan sebaliknya hulurkan tangan dan sama-samalah kita berganding bahu demi kemajuan anak didik Semerbak.

Kepada warga Semerbak saya rasa mereka telah lali dengan kecaman dan ancaman daripada pihak luar. Oleh itu sedikit komentar daripada saya tidak mungkin boleh meruntuhkan keyakinan dan kesabaran di dalam hati warga Semerbak. Bersikap terbuka dan mengambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku pasti akan lebih memberikan kekuatan kepada warga Semerbak, insyallah. Terus terang saya kata warga pendidik ini ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Walaupun bagaimanapun warga guru juga ibarat mentimun dengan durian, menggolek pun kena, digolek pun kena. Oleh itu semua warga pendidik, sentiasa bersiap siaga dengan dengan sebarang kemungkinan, dokumentasikan semua aktiviti yang dilakukan supaya anda boleh kemukakan bukti atas apa yang telah anda buat agar skrip lama tidak berulang kembali.
Selamat Hari Guru.

Jazakallah Khairan Kathira.

Pengerusi
PIBG Semerbak
1 Jun 2009




2009/4/23 Anonymous

Anonymous has left a new comment on your post "Emel PIBG SKSML":

Keprihatinan PIBG terutamanya YDP baru amat dihargai. Perlu ditekankan bahawa seluruh warga pendidik SKSML tidak pernah mengabaikan kecemerlangan murid kerana akhirnya guru juga yang akan dipersalahkan. Namun adakah PIBG khasnya YDP sedar akan beban tugasan selain dari mengajar yang wajib dilaksanakan oleh para guru. Perancangan setiap tahun setiasa di"upgradekan". Namun pelaksanaan pasti akan terbantut tanpa sokongan semua pihak. Sampai bila warga pendidik mesti manggunakan wang sendiri untuk menampung setiap aktiviti. Sampai bila warga pendidik mesti menggunakan psikologi untuk membetulkan sikap murid yang sememangnya di Sg Merab ini tidak boleh di'usik'. Kita amat berterima kasih kepada PIBG sebelum ini yang amat kurang bercakap tetapi amat banyak memberikan bantuan perkhidmatan dan kewangan. Sikap mengambil berat terhadap pencapaian murid tanpa sekali-kali menuding jari kepada warga pendidik amat dihargai. Skrip turun - naik keputusan UPSR memang sentiasa berlaku si SKSML malah di mana-mana sekolah pun.Bagi yang tidak faham, sejak 2 tahun yang lalu lembaga peperiksaan sentiasa mengubah format peperiksaan tanpa memaklumkan kepada pihak pendidik. Hasilnya murid akan memberikan jawapan yang betul tetapi dalam format yang salah. Isu ini sudah menjadi isu yang besar di bahagian peperiksaan tetapi pihak guru yang memeriksa kertas terikat dengan Akta OSA. Murid tahun lalu juga adalah kumpulan kedua yang bermasalah dari segi sikap tidak mengikut arahan guru dalam menjawab soalan. Kita pernah mempunyai kumpulan yang mempunyai sikap yang sama beberapa tahun lalu yang menyaksikan keputusan turun dengan agak teruk walaupun tidak seteruk tahun lalu. Bagi warga pendidik SKSML kami sentiasa berdoa akan kecemerlangan murid walaupun beberapa kali kami diherdik, dihina dan dimalukan tanpa sebab dan salah sangka akibat hanya mendengan cerita anak-anak. Kepada PIBG khasnya YDP kami berharap agar hentikan mencari kesalahan warga pendidik kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak-anak Sungai Merab. Marilah bersama-sama mengembalikan kecemerlangan SKSML yang telah hilang. Jangan bercakap sehingga guru merasakan diri mereka sebagai musuh PIBG. Keadaan ini pernah berlaku pada tahun 2000-2004 yang lalu sehingga tiada guru yang ingin melibatkan diri dengan PIBG. Ingatlah. Guru sekarang bukan guru tahun 60an dahulu. Guru sekarang amat menjaga kebajikan diri sendiri kerana tidak banyak pihak yang sanggup mempertahankan guru bila teraniaya. Sikap guru sekarang ialah : Siapa yang mahu belajar-dia yang akan pandai-siapa yang dengan cakap - dia yang akan untung. Guru tidak boleh merotan atau mendenda. Apa yang boleh guru buat jika anak muridnya tidak membuat tugasan atau melakukan kenakalan? Apakah ibu bapa boleh terima hukuman anaknya? Di Sungai Merab ini? Pengalaman lalu menceritakan segalanya.



Posted by Anonymous to PIBG SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI MERAB LUAR @ PIBG SEMERBAK at April 23, 2009 9:54 AM

Selamat Bercuti Untuk Murid-Murid Semerbak

Salam.

PIBG Semerbak mengucapkan selamat bercuti untuk murid-murid dan guru-guru Semerbak. Kepada murid-murid yang mengambil UPSR pada tahun ini diharap cuti selama dua minggu dapatlah digunakan sebagai waktu untuk mengulangkaji pelajaran. Kepada guru-guru yang bercuti dan mahu balik kampung diharap dapat pulang dengan selamat dan berhati-hati bila memandu.

Jazakallah Khairan Kathira.

Pengerusi
PIBG Semerbak