Monday, February 22, 2010

TEKS UCAPAN HARI SUKAN SEMERBAK 21 FEB 2010

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT atas kehidupan yang indah ini serta terima kasih kepada penganjur Hari Sukan Sekolah Semerbak sesi 2010 yang telah  memberi peluang kepada saya untuk mencoretkan sepatah dua kata di dalam buku program ini.

Sukan dan kehidupan tidak boleh dipisahkan. Orang yang mementingkan sukan adalah orang yang tahu makna kehidupan. Dengan bersukan kehidupan lebih sihat, cergas dan kuat. Amalan ini mestilah dipupuk di peringkat sekolah lagi dan sudah tentulah pihak sekolah menjadi teraju utama untuk memupuk minat bersukan di  kalangan murid-murid yang baru hendak bercambah ini.  Sukan sebahagian daripada kehidupan. Sukan juga merupakan satu industri.  Dunia yang semakin mencabar ini telah menjadikan bidang sukan sebagai satu bidang kerjaya yang amat menarik. Kita bukan sahaja bersukan untuk menyihatkan badan tetapi jika bakat yang ada dapat dipupuk ke peringkat yang lebih tinggi tidak mustahil pada satu hari nanti ada di kalangan anak-anak didik Semerbak akan menjadikan bidang sukan ini sebagai satu kerjaya pilihan.

Di ruang yang agak terhad ini saya mengambil  kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua warga Semerbak terutama guru-gurunya yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan Hari Sukan Sekolah ini. Kepada anak-anak didik Semerbak, kalah atau menang di dalam sesuatu pertandingan adalah perkara biasa. Kepada yang menang diucapkan tahniah dan kepada yang belum lagi menang, masa masih panjang, belajar daripada kesilapan dan berazam untuk berjaya pada tahun hadapan.

Sekian, wassalam.

Zakaria Ahmad

YDP

PIBG Semerbak


 

No comments:

Post a Comment

Thank you for comments

Post a Comment