Monday, July 20, 2009

Tiada Lagi PPSMI

Salam.

Keputusan KPM untuk memansuhkan PPSMI secara beransur-ansur mulai tahun depan sehingga 2012 disambut dengan gembira oleh semua pihak terutama pejuang-pejuang bahasa Melayu. Ada juga pihak yang agak kurang senang dengan keputusan ini terutama golongan yang melihat bahasa Inggeris itu adalah segala-galanya dan kejayaan dan kemajuan sesebuah negara itu amat bergantung kepada kemahiran rakyatnya menguasai bahasa Inggeris terutama di dalam era globalisasi ini.

Saya bukanlah orang yang fanatik dengan bahasa ibunda dan menolak kemahiran penguasaan bahasa lain terutama bahasa Inggeris. Belajarlah berapa banyak bahasa pun kerana kata orang jika kita boleh menguasai lebih daripada lima bahasa itu membuktikan kita adalah seorang genius. Isu yang lebih besar di sini ialah adakah dengan mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris boleh membantu pelajar-pelajar kita meguasai subjek tersebut dengan baik berbanding dengan menggunakan bahasa Kebangsaan? Setelah enam tahun dilaksanakan, Menteri Pelajaran telah memaklumkan bahawa dasar PPSMI tidak mencapai objektif yang diharapkan. Ini adalah fakta bukan rekaan. Oleh itu memang tepatlah keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan.

Saya berharap jika ada sebarang dasar baru yang hendak dilaksanakan, KPM hendaklah membuat kajian terperinci serta mendapat maklum balas daripada pakar-pakar yang ada. PPSMI yang dilaksanakan secara ekspres telah menimbulkan banyak keresahan terutama di kalangan warga pendidik yang terpaksa mengubah kaedah p % p di bilik darjah. Semoga dasar-dasar yang bersifat eksperimen tidak lagi menjadi budaya kita kerana ia dikhuatiri akan memangsakan generasi kita nanti.

Wassalam.

YDP

No comments:

Post a Comment

Thank you for comments