Monday, March 1, 2010

MESYUARAT AGUNG PIBG SEMERBAK SESI 2010 - Satu sisi pandang

Salam sejahtera.

Pada 7 Mac 2010 ini akan diadakan mesyuarat agung PIBG sesi 2010 sekolah Semerbak. Secara idealisnya mesyuarat ini amat penting sekali kerana ia menjadi wadah permuafakatan yang berguna bagi ibu bapa dan guru-guru untuk memerah idea serta tanaga bagi memastikan kemajuan sekolah sama ada daripada aspek akademik mahupun sahsiah dapat dipacu ke arah yang lebih gemilang. Walau bagaimanapun ini bukanlah realiti yang berlaku di kebanyakan sekolah-sekolah di bawah KPM terutamanya di sekolah yang majoritinya dihuni oleh bangsa Melayu. Kebanyakan ibu bapa seoalah-olah telah membuat satu persepsi bahawa mesyuarat seperti ini bukanlah sesuatu yang penting dan sama ada hadir ataupun tidak di dalam mesyuarat itu nanti tidak akan mengubah apa-apa yang bakal berlaku di sekolah. Dengan adanya persepsi yang sebegini, menjadikan mesyuarat agung PIBG sentiasa hambar dan seolah-olah ia hanyalah untuk mencukupkan syarat yang telah dietapkan oleh KPM

Persepsi sebegini perlu dilontarkan jauh-jauh oleh para ibu bapa. Kita perlu meletakkan keutamaan kepada mesyuarat ini kerana AJK yang bakal dipilih nanti bakal menentukan hala tuju dan pencapaian sekolah terutamanya bagaimana wang PIBG akan dimenafaatkan untuk perbelanjaan setiap aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah. Kepimpinan yang bakal dipilih nanti akan memainkan peranan penting dalam menentukan sistem "semak dan imbang" diaplikasikan dalam setiap aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah. Semua keputusan yang dibuat akan memberi impak kepada anak-anak kita secara langsung. Ibu bapa membayar yuran PIBG, oleh itu ibu bapa berhak untuk tahu bagaimana wang itu digunakan. Jika sikap tidak ambil peduli menjadi kebiasaan dalam diri, janganlah nanti kita marah bila harapan yang kita letakkan tidak menjadi kenyataan ibarat "kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari."

Pemimpin datang dan pergi. Kepimpinan baru datang dengan idea yang baru. Adalah sangat penting dipilih pemimpin baru yang berkalayakan untuk menerajui PIBG kerana setiap orang ada idea, cara dan gaya tersendiri bagaimana untuk memimpin sesebuah organisasi. Jika kita sayang anak kita, jika kita sayang sekolah kita, janganlah kita sayang untuk berkorban untuknya. Untuk berjaya, kita perlu berkorban. Berilah seulas ruang kepada diri anda untuk sama-sama berbakti kepada sekolah yang kita cintai ini. Janganlah bersikap seperti keretapi yang mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh kepala yang dihadapan kerana belum tentu kepala yang dihadapan sentiasa berada dilandasan yang betul. Ibu bapalah yang menjadi penentu supaya kepala yang di hadapan tidak terkeluar daripada landasan yang telah ditetapkan. Oleh itu jadikanlah mesyuarat ini sebagai satu platform yang penting untuk kita sama-sama menyumbang idea dan tenaga demi masa depan anak-anak kita. Gunakan hak anda untuk memilih dan pilihlah pemimpin yang anda rasakan mampu untuk meletakkan sekolah ini dilandasan yang betul. Sudah tentu ramai di kalangan ibu bapa di luar sana mempunyai kepakaran dan kemahiran yang boleh diaplikasikan di sekolah ini. Ayuh! pengorbanan anda penentu kejayaan sekolah ini.

Kalau roboh Kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai di kata
Badan dan nyawa anda korbankan

Wassalam.

YDP
1 Mac 2010

No comments:

Post a Comment

Thank you for comments