Monday, April 13, 2009

Mesyuarat AJK PIBG SEMERBAK 2/2009

Salam.

Mesyuarat berlangsung pada 12 April 2009, jam 9.30 pg bertempat di kelas 4 UM. Fokus kepada mesyuarat hari ini ialah mendengar sendiri perancangan guru-guru UPSR untuk menaikkan pencapaian akademik UPSR 2009 dan masalah-masalah yang dihadapi. Guru-guru subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris telah membentangkan perancangan akademik 2009 dan rintangan yang dihadapi.

Perancangan guru-guru boleh dikira baik dan kebanyakan daripadanya masih mengikuti apa yang telah dilaksanakan pada tahun 2008. Selain itu mesyuarat juga bersetuju agar segala program kecemerlangan UPSR 2009 dikaji keberkesanannya. Adalah sesuatu yang lumrah bila sesuatu program dijalankan, ia akan berakhir begitu sahaja tanpa ada penilaian formatif dilakukan terhadap keberkesanan program tersebut. Oleh itu untuk program tahun 2009, PIBG menyarankan agar guru membuat penilaian keberkesanan program supaya ia boleh dijadikan panduan untuk guru menentukan program apakah yang perlu dikekalkan, dibuat penambahbaikan ataupun dihapuskan.

Keseriusan AJK PIBG terhadap pencapaian akademik pada tahun 2009 amat dihargai. PIBG kini menjadi medan terbaik untuk semua pihak duduk semeja dan berbincang bagi sama-sama menaikkan martabat SEMERBAK. Segala yang baik datang daripada Allah dan segala kekurangan sememangnya datang daripada kelemahan kami sebagai manusia.

Jazakallah Khairan Kathira.

YDP
13/4/2009